INFORMASI TEMPATAN

Maklumat Komuniti
Info Penduduk
1748 Orang Penduduk

Populasi Penduduk
100% Melayu Dan Beragama Islam

Purata Pekerjaan
1. Bekerja Sendiri
2. Sektor Kerajaan
3. Sektor Swasta
4. Pesara

Rekreasi & Pelancongan

Temerloh Titik Tengah Semenanjung


Sebut sahaja apa yang ada di Temerloh, Pahang pasti ramai mengaitkannya dengan Bandar Ikan Patin atau juadah popular ikan patin tempoyak. Kini, tarikan terbaru mengenai daerah Temerloh ialah kedudukan titik tengah semenanjung yang terletak di Kampung Paya Siput, Lanchang.

Sebelum titik itu ditemui di lokasi berkenaan, terdapat perdebatan dalam kalangan ahli akademik mengenai titik koordinat paling signifikan bagi kedudukan Istimewa terbabit termasuklah pernah menamakan dua lokasi lain iaitu Kampung Belimbing di Lipis dan Kampung Kertau di Maran. Namun, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) melakukan pelbagai kaedah termasuklah kaedah topografi, kiraan jisim dan matematik sehingga menemukan kedudukan Kampung Paya Siput adalah paling tepat sebagai titik tengah Semenanjung.

Kesan kepada kedudukan itu menjadikan destinasi Titik Tengah Semenanjung sebagai produk pelancongan baru diketengahkan pihak Majlis Daerah Temerloh apabila mendirikan monumen selain melantik operator tempatan. Paling orang teruja pastinya kewujudan monumen beserta dengan perincian terdapat pada mercu tanda itu seperti jarak destinasi ini dengan lain-lain bandar atau negeri di semenanjung Malaysia. Mercu monumen itu dicondongkan menghala ke arah kiblat dengan pacakan lima batang buluh menandakan rukun islam. Disitu juga terdapat pelbagai fasiliti yang dapat digunakan oleh pengunjung dan tempat-tempat yang cantik untuk berswafoto sebagai kenangan. Waktu operasi pada hari Isnin hingga Ahad pada jam 10 pagi hingga 5 petang dan tutup pada hari Jumaat. Harga tiket untuk masuk ke tempat ini bagi dewasa adalah RM5 dan kanak-kanak RM3.

Temerloh Rekreasi Tasik Chatin


Bagi pengunjung yang tinggal di sekitar bandar Mentakab bolehlah meluangkan masa untuk menikmati keindahan Taman Rimba ini. Hutan yang dikekalkan di sini menjadikan taman ini terlindung daripada pancaran matahari yang terik. Ia amat sesuai untuk dijadikan kawasan rehat seisi keluarga. Di sini pengunjung boleh melihat habitat ikan air tawar serta menikmati keindahan hutan rimba yang dikekalkan.

Antara kemudahan yang disediakan:- taman permainan kanak-kanak, tandas awam, kemudahan untuk senaman dan beriadah, kawasan rehat yang selesa, dan juga gerai makanan.

Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan


Gajah sebagai haiwan ikon di negeri Pahang telah dijaga dengan rapi oleh Jabatan Perhilitan di negeri ini. Di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah yang juga dikenali sebagai Pusat Gajah Kuala Gandah ini, haiwan ini ditempatkan dalam habitatnya.

Terletak di Kuala Gandah, Lanchang adalah tempat perlindungan dan penjagaan gajah, Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan. Gajah-gajah yang ditempatkan di sini adalah daripada yang kurang bernasib kerana ditinggalkan daripada gerombolan mereka ataupun gajah liar dan gajah denak yang telah ditangkap dan kemudiannya dilepaskan oleh Taman Negara.Bagi anda yang tak berani mencari gajah sendiri di dalam hutan, inilah peluangnya untuk memerhati haiwan hutan yang dikatakan bijak ini.

Pekan Sari Temerloh


Temerloh bukan sahaja terkenal dengan dengan Ikan Patin dan Titik Tengah Semenanjung tetapi juga keunikan pekan sehari yang dikatakan terbesar dan terpanjang di Semananjung. Pekan sehari terletak di persisiran Sungai Pahang sepanjang lebih 2000 meter melibatkan hampir 1000 peniaga menjadi tumpuan masyarakat mendapatkan pelbagai barangan.

Terletak berhampiran Sungai Pahang di Jalan Lurah Semantan, Pekan Sehari Temerloh padat dengan jualan bermacam jenis barangan termasuklah pakaian, cenderemata, makanan, bahan basah dan banyak lagi. Pekan sehari ini dibuka setiap hari Ahad pada jam 7 pagi hingga 12 tengah hari. Antara menjadi tumpuan pengunjung ke pekan sehari Temerloh adalah jualan ikan-ikan sungai seperti patin, lampam dan kerai. Terdapat juga jualan bermacam jenis kuih-muih tradisional yang susah didapati masa kini, sayur-sayuran, dan hasil laut yang dijual dengan harga yang berpatutan.

Tempat Makan Menarik


Saiful Patin Gulai Masam


Merupakan salah satu kedai yang viral di Simpang Renggam beralamat di Batu 45 1/2 Jalan Johor, 86200 Simpang Renggam, Johor. Pelbagai menu yang menarik dari masakan kampung hingga ke western semua ada di kedai ini.

Warong Selai


Temerloh bukan sahaja mempunyai banyak kedai-kedai yang menjual ikan patin dan juga pelbagai menu yang berasaskan patin malah di Temerloh juga terdapat kedai kopi ala vintaj yang merupakan daya tarikan yang menarik untuk penggemar kopi. Mungkin konsep kedai kopi ini agak familiar di ibu kota, namun di bandar Temerloh, Warong Selai adalah pelopor bagi kafe yang mengetengahkan konsep sedemikian.

Warong Selai terletak di tepi jalan Maran – Temerloh. Warong ini diusahakan oleh sepasang suami isteri iaitu Rohamat Kamal Mustafa dan isteri Khalina Kamarumtham sejak 2017. Idea untuk menghasilkan kafe ini didorong oleh hobi Encik Rohamat bersama isteri beliau sewaktu menetap di Kuala Lumpur dan mereka gemar ‘café hopping’.

Nekad untuk merealisasikan impian untuk mempunyai kafe sendiri, Encik Rohamat dan isteri berpindah ke Temerloh iaitu kampung bapa mertua Encik Rohamat. Mereka menghias kafe mereka dengan barangan antik dan vintaj dan menamakan kafe tersebut sebagai Warong Selai. Bukan setakat kopi sahaja yang terdapat di Warong Selai ini, malah mereka mempunyai hidangan signature iaitu tat telur. Rata-rata pengunjung Warong Selai bukan sahaja datang untuk merasai pengalaman kafe vintaj, tetapi mereka juga mencari hidangan tersebut. Selepas beberapa kali menukar waktu operasi, lokasi, dan menu yang disajikan, akhirnya Warong Selai mula dikenali ramai sekitar penghujung 2020 dan Warong Selai kini tersenarai sebagai salah satu destinasi pilihan Tourism Pahang. Waktu operasi Warong Selai setiap hari Selasa, Rabu, Khamis, Jumaat, Sabtu dan Ahad dibuka pada jam 9 pagi hingga 3 petang dan tutup pada hari Isnin.

Kemudahan Awam
Pendidikan
Kisah Kejayaan

Muhammad Irsyad Hakim Bin Mohd Nor Ridzuan atau lebih dikenali dengan panggilan Hakim dikalangan rakan-rakannya merupakan anak jati Kampung Bukit Tingkat, Temerloh, Pahang. Hakim merupakan murid Tahun 5 Sekolah Kebangsaan Bangau, Temerloh dan sering ke NADI Bukit Tingkat untuk menggunakan komputer. Hakim telah menunjukkan sokongannya kepada NADI Bukit Tingkat dengan mendaftar sebagai ahli NADI sejak tahun 2017 lagi dimana NADI baru lagi beroperasi di Kampung Bukit Tingkat ini. Hakim juga selalu komited menyertai apa-apa sahaja kelas ICT dan juga program yang dianjurkan oleh pengurusan NADI Bukit Tingkat. Sebelum ini Hakim tiada pengetahuan asas tentang penggunaan komputer. Setelah mendaftar sebagai ahli NADI Bukit Tingkat, banyak ilmu tentang ICT telah dipelajarinya. Antaranya adalah, cara mencari bahan rujukan di Google, menggunakan Microsoft Paint secara asas dan juga cara membuat kad jemputan menggunakan Microsoft Word secara asas. Dengan bimbingan dan sokongan daripada pengurusan NADI Bukit Tingkat, Hakim bersemangat untuk terokai dunia IT dan teruja untuk mempelajari ilmu baharu dengan lebih mendalam lagi. Pihak pengurusan NADI Bukit Tingkat berharap Hakim tidak berhenti dan sentiasa bersemangat mencari dan mendalami ilmu-ilmu yang bermanfaat dan tiada batasan di Internet seiring dengan perkembangan teknologi terkini sekaligus dapat melahirkan generasi Z yang celik IT.

Keusahawanan

Jika bercerita tentang kuih muih dan kuih raya tradisional, pasti ramai yang menyukai dan ingin mendapatkan kuih tradisional yang tetap menjadi pilihan hingga kini. Bak kata pepatah `tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Kuih traditional tetap dicari tidak kira majlis mahupun di musim perayaan. Puan Siti Ariani binti Aris atau lebih dikenali sebagai Puan Ariani merupakan usahawan makanan dan kuih raya tradisional. Sebelum ini, beliau merupakan seorang suri rumah tangga sepenuh masa. Permulaanya, perniagaan sejak turun temurun ini telah diusahakan oleh ibunya. Kini, beliau mengambil alih perniagaan turun temurun ini sambil dibantu oleh suami dan 2 orang pekerja. Selain itu, atas minat yang mendalam dalam bidang perniagaan beliau menyertai pelbagai kursus seperti Pengurusan Perniagaan dari Empower Ecer Temerloh,Pahang. Beliau juga menyertai Program Giat Mara, Skill To Society(S2S) Bakery & Pastry dan menyertai Kursus Bina Rancangan Perniagaan anjuran Felcra Pahang. Atas dorongan dan semangat yang kuat daripada keluarga tercinta, kuih tradisional beliau mendapat sambutan dan sentiasa menerima tempahan daripada penduduk sekitar Temerloh mahupun rakan terdekat. Perniagaan Syarnia Enterprise beroperasi bermula 9.00 pagi sehingga 6.00 petang.